JABATAN PENGAIRAN DAN SALIRAN
DAERAH KUALA MUDA/SIK/BALING, SG.PETANI
SOALAN-SOALAN LAZIM
Adakah JPS bertanggungjawab terhadap masalah air paip?
JPS tidak bertanggungjawab terhadap bekalan air domestik atau industri. JPS hanya bertanggungjawab terhadap bekalan air pengairan untuk petani/peladang. Sila hubungi pihak berkuasa yang berkaitan seperti Jabatan Kerja Air Negeri, Jabatan Kerja Raya atau syarikat air / lembaga air yang berkaitan di kawasan anda.
Kepada siapakah harus saya mengadu untuk masalah saliran tempatan atau banjir kilat?
JPS dan juga pihak berkuasa tempatan bertanggungjawab yang berkenaan saliran. Secara umum pihak berkuasa tempatan bertanggungjawab terhadap pembinaan dan penyelenggaraan sistem saliran tempatan yang sebahagian besarnya merupakan saliran utama dan saliran sekunder. JPS bertanggungjawab terhadap sungai yang mungkin mengalir kedalam dan di luar kawasan pihak berkuasa tempatan. Banjir yang disebabkan oleh parit dan pembetung yang tersumbat jatuh di bawah tanggungjawab pihak berkuasa tempatan. Banjir yang disebabkan oleh limpahan parit dan sungai akibat keupayaan yang tidak mencukupi biasanya merupakan tanggungjawab JPS. Sekiranya ragu-ragu sila hubungi pejabat JPS yang terdekat.
Di manakah saya boleh mendapatkan data tentang curahan hujan dan aliran
sungai?
Maklumat ini diterbitkan setiap tahun oleh Bahagian Hidrologi Jabatan Pengairan dan Saliran yang terletak di Cawangan Ibu Pejabat di Jalan Ampang (Tel: 03-4256 2657). Bahagian Hidrologi kini sedang membangunkan suatu sistem pangkalan data yang dikenali sebagai Sistem Maklumat Hidrografi (HIS - Hydrologic Information System) yang berupaya untuk membekalkan maklumat dalam talian. JPS juga mengumpul beberapa maklumat tentang kualiti air terutamanya tentang beban endapan. Untuk butir-butir lanjut, http://h2o.water.gov.my/
Bolehkah sesiapa memohon untuk menggunakan tanah yang ditetapkan sebagai
"Rizab Sungai"?
Secara umumnya JPS tidak menggalakkan permohonan untuk menggunakan rizab sungai kerana JPS perlu memasukinya pada bila-bila masa untuk kerja-kerja pembaikan kecemasan dan juga untuk penyelenggaraan sungai. Walau bagaimanapun, JPS mungkin mempertimbangkan permohonan tertentu berdasarkan kes demi kes.
Bagaimanakah saya boleh meminta jejambat pejalan kaki?
JPS sering menerima permintaan untuk membina jejambat pejalan kaki atau jambatan lalu lintas ringan untuk kemudahan penduduk tempatan. Sila tulis surat kepada Jurutera Daerah JPS pejabat negeri atau daerah yang berkaitan dan sertakan nama, alamat, nombor telefon anda untuk dihubungi.
Kepada siapakah saya mengadu tentang masalah-masalah pencemaran sungai?
JPS menghargai maklumat tentang sebab-sebab dan juga punca pencemaran sungai. JPS bukan pihak penguatkuasaan bagi kawalan pencemaran, JPS biasanya akan merujuk perkara berkenaan kepada Jabatan Alam Sekitar.
Kepada siapakah saya mengadu tentang sampah yang menyumbat parit?
Sila rujuk perkara ini kepada pihak berkuasa tempatan berkenaan yang bertanggungjawab terhadap penyelenggaraan parit-parit ini. Namun JPS akan menerima aduan tentang sampah yang terdapat didalam sungai.
Kepada siapakah saya melaporkan tentang setinggan yang menduduki rizab sungai?
Jika anda nampak setinggan mula menduduki rizab sungai, lalu menyebabkan pengotoran dan pencemaran sungai, anda boleh menghubungi JPS dengan segera. JPS akan menghubungi pihak berkuasa yang berkenaan untuk memindahkan setinggan secepat mungkin.
Apakah perkara-perkara yang perlu diambil kira semasa memproses atau merancang kerja-kerja lanskap di kawasan berhadapan sungai dan di dalam sungai ?
Keperluan ruangan bagi tujuan pengendalian dan penyenggaraan sungai perlu disediakan. Dalam keadaan biasa, satu ruang seluas 5m adalah memadai (unruk sungai di dalam bandar). Ruang ini bergantung kepada keadaan sungai yang terlibat dan keperluan JPS. Ruang ini seharusnya hanya dijadikan kawasan lapang dan ditanam dengan rumput sahaja sebagai zon penimbal.
Apa jua kemudahan yang dirancang perlu dipastikan tidak akan menjejaskan keupayaan hidraulik sungai. Dalam hubungan ini, segala tanaman dan kemudahan tidak dibenarkan dalam kawasan aliran bagi banjir yang berlaku dengan kekerapan sekali dalam 2 tahun.
Bagi kawasan laluan banjir yang selebihnya, kemudahan dan tanaman yang menyebabkan halangan/gangguan yang minimum boleh dibenarkan. Jenis tanaman yang boleh menahan hakisan tebing harus digalakkan. Bagi kawasan yang sensitif, semakan kesan/impak perlu disemak sebelum membuat keputusan.
Dalam keadaan di mana tanaman baru perlu diadakan, Garispanduan Lanskap Negara perlu digunakan. Bagi kawasan bandar, jenis pokok yang digemari hidupan liar (burung, serangga dan lain-lain.) seharusnya digalakkan.
Semasa mengemukakan pelan sunsunatur, pemaju di wajibkan juga menyediakan pelan pengindahan dan rekreasi di kawasan rizab yang perlu diluluskan oleh pihak JPS.
Apakah kriteria-kriteria untuk meluluskan sesuatu permohonan permit pengambil pasir?
Plan Lokasi pengeluaran pasir
Cara pengeluaran pasir
Cara 'stockpile' pasir
Perlindungan terhadap keadaan dan persekitaran sungai
Dokumen-dokumen permohonan yang diperlukan