JPS Kedah

CAPAIAN KAKITANGAN

HRMIS
InfoPortal
SMARTRAK
SPPII
LKK(BiW)
Telemetri
Webmail

Laman Utama Bahagian Sungai, Pengurusan Banjir & SMA Garis Panduan Pengambilan Pasir
Garis Panduan Pengambilan Pasir PDF Cetak E-mel
Ditulis oleh Administrator   
Rabu, 09 Julai 2008 14:04

 

1. Tujuan

Garis panduan ini disediakan bertujuan untuk melindungi sungai-sungai dari kesan buruk akibat aktiviti perlombongan pasir dengan mengwujudkan panduan yang seragam untuk memproses permohonan melombong pasir dan bagi menetapkan syarat-syarat yang jelas ke atas pelombong-pelombong pasir sungai.


2. Pendahuluan

  1. Pengambilan pasir dari sungai-sungai adalah satu aktiviti yang telah lama dijalankan di negara ini. Pasir merupakan salah satu bahan utama dalam industri pembinaan terutamanya yang melibatkan binaan konkrit dan jalanraya. Pasir juga banyak digunakan untuk kerja-kerja tebus guna tanah. Sumber bekalan pasir yang paling banyak dan mudah didapati ialah dari dasar sungai-sungai yang banyaknya terdapat di negara ini.
    Pada masa kini, cara-cara yang sedang diamalkan untuk mengeluarkan bahan pasir dari sungai adalah seperti berikut:-
    1. Kaedah menggunakan kapal korek.
    2. Kaedah mengunakan pam dan pontun.
    3. Kaedah mengunakan jengkaut jenis dragline atau hidrolik.
    4. Menggunakan tenaga manusia dengan alat penyedok dan sampan.

  2. Antara kaedah yang paling popular adalah jenis pam dan jengkaut manakala penggunaan kapal korek kebanyakannya digunakan di bahagian kuala dan sungai-sungai yang besar sahaja.

  3. Kegiatan pengambilan bahan pasir dari dasar sungai boleh menimbulkan beberapa masalah dan di antaranya ialah:-
    1. Hakisan dan ketidakstabilan tebing sungai.
    2. Perubahan ke atas regime sungai.
    3. Halangan ke atas aliran air sungai.
    4. Gangguan kepada pergerakan pengangkutan air.
    5. Kerosakan ke atas persekitaran sungai.
    6. Kemerosotan kualiti air di hilir sungai.
    7. Mendapan di bahagian saluran pengambilan air (water intakes) dan lain-lain struktur sungai di hilir.

  4. Sebaliknya aktiviti pengambilan pasir sekiranya diuruskan dengan baik boleh mengurangkan mendapan pasir di dasar-dasar dan di kuala-kuala sungai. Ini bukan sahaja boleh mengurangkan kejadian banjir tetapi juga memudahkan laluan pengangkutan-pengangkutan air. Dalam hubungan ini JPS boleh memainkan peranan yang penting dengan memastikan setiap permohonan pasir yang diterima, dikaji dengan teliti terlebih dahulu. Pada amnya prosidur semasa pentadbiran melombong pasir sungai adalah seperti di Lampiran I.

  5. Semasa memproses permohonan pengambilan pasir sungai serta menetapkan syarat-syarat kelulusan, adalah penting pejabat-pejabat JPS yang berkenaan memberi pertimbangan dan perhatian terhadap perkara-perkara yang berikut:
    1. Memastikan sungai dilindungi dari hakisan tebing termasuk dasarnya.
    2. Mengelakan gangguan kepada kerja pengendalian dan penyelenggaraan sungai oleh JPS, JBA, atau agensi-agensi lain.
    3. Tidak akan menghalangkan aliran air sungai dan pergerakan pengangkutan air.
    4. Dapat mengelakan/mengurangkan mendapan pasir di bahagian hilir sungai khasnya yang mempunyai struktur-struktur sungai seperti jeti, water intakes dan lain-lain.
    5. Dapat memeliharakan regime dan persekitaran sungai.
    6. Tidak akan mencemarkan kualiti air sungai.

  6. Masalah-masalah yang disebutkan di para 2.c akan dapat dikurangkan dengan mengambil langkah-langkah yang berikut:-
    1. Memproses permohonan-permohonan dengan berpandukan kepada garis panduan yang dapat melindungi sungai-sungai.
    2. Menetapkan syarat-syarat yang jelas kepada pemohon-pemohon dan memastikan syarat-syaratnya dipatuhi.

3. Garis Panduan Untuk Memproses Permohonan

Sebelum meluluskan sesuatu permohonan permit pengambilan pasir kriteria-kriteria berikut perlu diberi perhatian :-

  1. Lokasi Pengeluaran Pasir.
    1. Bahagian-bahagian sungai di mana mendapan pasir telah berlaku hendaklah dikenalpasti terlebih dahulu. Pemohon-pemohon boleh dibenarkan untuk mengambil pasir di tempat-tempat tersebut untuk mengurangkan mendapan sungai.
    2. Pasir hanya boleh diambil di sepertiga bahagian tengah (middle third) sungai sahaja.
    3. Pasir tidak boleh diambil dalam lingkungan 500 meter dari mana-mana struktur hidrolik yang penting seperti rumah pam, water intakes dan sebagainya dan dalam linkungan 200 meter dari lain-lain struktur hidrolik yang kecil serta termasuk jambatan, bangunan dan sebagainya kecuali dengan kebenaran daripada JPS.
    4. Pasir tidak boleh diambil di mana hakisan terjadi atau dijangka berlaku umpamanya di liku tebing yang cekung (concave bank). Pengambilan pasir boleh dipertimbangkan untuk bahagian liku tebing yang cembung (convex bank) di mana pemendapan pasir telah berlaku. Pengambilan pasir yang melebihi keratan asal sungai adalah tidak dibenarkan.
    5. Lapisan pasir yang boleh dikeluarkan dari dasar sungai hendaklah bergantung kepada kelebaran sungai tersebut dan jumlah pasir yang boleh dikeluarkan hendaklah bergantung kepada kadar penambahan semula (replenishment rate) sungai berkenaan. Sila lihat Jadual 1 berikut:

      Jadual 1 : Lapisan Pengambilan Pasir Berdasarkan Kelebaran Sungai.
      Kelebaran Sungai
      Di Antara Tebing Kanan Dan Kiri
      Lapisan Pengambilan Pasir
      Yang Dibenarkan
      Kurang daripada 10 meter TIDAK DIBENARKAN!
      Di antara 10 hingga 20 meter 0.5 meter
      Di antara 20 hingga 50 meter 1.0 meter
      Lebih daripada 50 meter 1.5 meter

    6. Jarak kebenaran pengambilan pasir diantara satu pengusaha dengan pengusaha yang lain hendaklah juga bergantung kepada kadar penambahan semula sungai berkenaan.

  2. Cara Pengambilan Pasir
    Cara pengambilan pasir yang disyorkan oleh pemohon tidak boleh diubahkan kepada cara atau kaedah lain setelah diluluskan oleh JPS. Permohonan baru hendaklah dibuat atau kebenaran dari JPS hendaklah diperolehi terlebih dahulu sebelum kaedah pengambilan pasir boleh ditukarkan. Berikut adalah beberapa kaedah pengambilan pasir yang boleh dipertimbangkan dalam memberi kelulusan terhadap perlombongan pasir sungai:
    1. Kaedah Pam dan Pontun.
      Kaedah pengambilan pasir cara ini adalah yang disyorkan, oleh kerana ia dapat mengurangkan kerosakan terhadap tebing sungai dan rezabnya. Namun demikian, pengusaha perlu memastikan bahawa kedudukan pam dan pontun serta tali pengukuh (anchor wire) dan paip pengalur pasir ke kawasan stockpile tidak menjadi penghalang kepada kerja-kerja penyelenggaraan sungai dan juga pergerakan pengangkutan air.
    2. Kaedah Jengkaut.
      Hakisan kepada tebing sungai banyak dilaporkan berlaku dengan cara menggunakan mesin jengkaut sama ada jenis hidrolik atau dragline. Cara ini adalah tidak sesuai digunakan dalam keadaan yang berikut:-
      • Bahagian-bahagian di mana muka keratan sungainya adalah melebihi 40 meter untuk mengelakkan pengambilan pasir di luar sepertiga bahagian tengah sungai.
      • Bahagian-bahagian sungai di mana bannya adalah lembut dan tidak berupaya menerima beban jengkaut untuk mengelak runtuhan dan hakisan tebing sungai.
      • Bahagian-bahagian sungai di mana persekitaran sungai perlu dipelihara atau dikekalkan dalam keadaan semulajadi.
      Dalam keadaan tertentu, kegunaan mesin-mesin ini boleh diberi pertimbangan, seperti kawasan-kawasan sungai di liku tebing yang cembung (convex bank) di mana pemendapan pasir telah berlaku.
      Adalah disyorkan, bagi menjamin keselamatan tebing sungai serta persekitarannya, wang pertaruhan yang secukupnya perlulah ditetapkan dan kaedah ini juga memerlukan pengawasan yang rapi bagi menjamin kepentingan tersebut.
    3. Kaedah Kapal Korek.
      Bagi sungai-sungai yang besar dan bahagian muara sungai, penggunaan kapal korek yang sesuai boleh dipertimbangkan. Memandangkan kaedah ini boleh mengeluarkan kuantiti pasir yang banyak, untuk tujuan pengawalan, pelan sukat dasar perlu disediakan oleh pengusaha melombong pasir sebelum dan selepas pengambilan atau pada bila-bila masa yang dikehendaki oleh JPS. Seperti juga kaedah pam dan pontun, pengusaha perlu memastikan tali pengukuh dan paip pengalur pasir ke kawasan stockpile tidak menjadi penghalang kepada kerja-kerja penyelenggaraan sungai dan juga pengerakan pengangkutan air.
    4. Cara Manual.
      Pengambilan pasir secara manual yang menggunakan tenaga manusia dengan alat penyedok dan sampan tidak menimbulkan masalah yang serius. Walau bagaimana pun beberapa syarat-syarat teknikal yang berkenaan perlu dipatuhi.
  3. Cara Stockpile Pasir
    1. Cara stockpile pasir yang baik adalah dengan mengunakan jenis struktur hopper di mana pasir yang dipam dialirkan ke dalamnya dan dikeluarkan menerusi pintu kawalan terus ke dalam lori pengangkut apabila diperlukan.
    2. Kedudukan stockpile pasir sebaik-baiknya hendaklah berada sekurang-kurangnya 20 m dari tebing sungai.
    3. Untuk kaedah jengkaut, pasir yang diambil oleh jengkaut boleh dibenarkan diletak sekurang-kurangnya 10 meter dari tebing sebagai stockpile sementara sebelum dibawa untuk dicuci dan dihimpunkan di stockpile utama yang mana hendaklah ditetapkan 20 meter dari tebing sungai.
    4. Di mana air sungai dipam untuk tujuan mencuci pasir dan juga air yang mengalir keluar daripada stockpile, aliran air yang menghala balik ke sungai perlu dikawal dengan disediakan saluran yang sempurna untuk mengelak hakisan tebing sungai dari berlaku. Struktur mencuci pasir juga hendaklah dipastikan berada sekurang-kurangnya 20 meter dari tebing sungai.

  4. Perlindungan Terhadap Keadaan dan Persekitaran Sungai
    1. Semua pokok dan tumbuhan haruslah dikekalkan dan sebarang penebangan serta pembersihan di sekitar kawasan tebing, hendaklah dilakukan atas kebenaran pihak JPS.
    2. Di mana berlakunya kerosakan terhadap tebing sungai akibat daripada pengeluaran pasir maka pengusaha adalah bertanggungjawab sepenuhnya ke atas kerosakan tersebut dan perlu membaikinya atas tanggungan pengusaha sendiri.
    3. Di mana perlu dan sebelum aktiviti pengambilan pasir dimulakan, pengusaha boleh disyaratkan untuk memperkukuhkan tebing sungai seperti menanam cerucuk bakau atau lain-lain cara yang sesuai untuk melindungi tebingnya.
    4. Di mana terdapat kawasan sungai yang dijadikan tempat rekreasi atau tempat pemeliharaan habitat seperti tuntung, kawasan ini perlulah dielakkan daripada sebarang kegiatan pengambilan pasir.

  5. Dokumen-dokumen Permohonan Yang Diperlukan
    Bagi tujuan memudahkan pemerosesan permohonan permit melombong pasir, JPS Negeri masing-masing bolehlah menetapkan kepada pemohon-pemohon supaya mengemukakan dokumen-dokumen seperti di Lampiran II untuk pemerosesan kelulusan.

4. Pemprosesan Kelulusan

  1. Bagi setiap permohonan yang diterima oleh Pihak yang Berkuasa (Pejabat Tanah Daerah atau Pengarah Tanah dan Galian Negeri atau Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN)) berkenaan, JPS akan diminta untuk memberi ulasan mengenainya. Maka JPS dalam tempoh yang munasabah akan memberi ulasan samada:-
    1. Permohonan disokong. Syarat-syarat kelulusan akan dilampirkan mengandungi perkara-perkara berikut:-
      • Syarat-syarat Teknikal.
        Ditetapkan untuk maksud memastikan keadaan sungai sentiasa dilindungi dari segi kestabilan, persekitaran, pencemaran dan peranannya. Sila rujuk kepada Lampiran III.
      • Syarat-syarat Pentadbiran.
        Bertujuan untuk mengawal aktiviti pengusaha-pengusaha melombong pasir supaya tidak melanggar apa-apa syarat yang telah ditetapkan. Sila rujuk kepada Lampiran IV.
    2. Permohonan tidak lengkap dan maklumat tambahan atau pembetulan perlu dibuat.
    3. Permohonan tidak disokong atas sebab-sebab tertentu.

  2. Memandangkan bahawa aktiviti perlombongan pasir sungai adalah ditadbirkan oleh Kerajaan Negeri masing-masing dan berbeza diantara satu dengan yang lain, Pejabat JPS Negeri masing-masing perlu mengunakan garis panduan ini disamping mengambil kira keperluan tempatan untuk dijadikan syarat-syarat yang dapat diamalkan dalam negeri yang berkenaan. Walau bagaimana pun syarat-syarat teknikal perlulah sentiasa dipatuhi.

  3. Pejabat JPS Negeri juga perlu memastikan ianya diberi sesalinan surat kelulusan permohonan serta surat perjanjian persetujuan pengusaha untuk mematuhi kesemua syarat-syarat yang telah ditetapkan kepadanya dari Pihak Berkuasa (Pejabat Tanah Daerah atau Pengarah Tanah dan Galian Negeri atau UPEN) supaya tindakan pemeriksaan dan kawalan dapat dilaksanakan mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan.

5. Penutup

Aktiviti pengambilan pasir sungai telah banyak memberi sumbangan kepada industri pembinaan dan juga boleh mengurangkan masalah mendapan sungai dan kejadian banjir. Oleh yang demikian, Jabatan Pengairan dan Saliran pada dasarnya tidak ada halangan terhadap kegiatan pengambilan pasir sungai ini sekiranya kegiatan ini dijalankan dengan pengawalan yang baik.

Untuk mengawal timbulnya masalah akibat daripada kegiatan melombong pasir sepertimana yang telah disebutkan di atas, garis-garis panduan dan syarat-syarat yang telah ditetapkan di dalam Garis Panduan ini semestinya dijadikan rujukan kepada semua pihak.

Penghargaan diberikan kepada semua JPS Negeri terutamanya JPS Negeri Kedah, Negeri Perak, Negeri Selangor, Negeri Pahang, dan Negeri Kelantan yang telah bekerjasama dalam memberi maklumat-maklumat yang diperlukan untuk menyediakan garis panduan ini.

Terakhir dikemaskini pada Isnin, 10 November 2008 19:09
 
Joomla Templates by JoomlaShack